17 September 2017 Masihi bersamaan 25 Dzulhijjah 1438 Hijrah

1.0 Bersempena dengan penganjuran Program Kemasyarakatan bertemakan “Pendidikan” dengan tajuk “Sehari bersama kanak-kanak Rohingya” yang berlangsung pada hari ini, 16 September 2017 bertempat di SIS-FEC Research Forest, Puchong. Asean Young Leaders Forum (AYLF) selaku sebuah jaringan kepimpinan belia rantau ASEAN menyatakan sepenuh komitmen bahawa AYLF akan menyeru para belia untuk bersama-sama menyantuni pelarian Rohingya dengan bantuan yang berterusan dan mengutuk penghapusan etnik di Mynmmar.

2.0 Pendirian AYLF ini dibuat berdasarkan lima (5) perkara berikut:

2.1 AYLF mengakui hakikat bahawa Orang Rohingya adalah bangsa tanpa Negara kerana Myanmar tidak mengiktiraf mereka sebagai salah satu dari 137 minoriti di negara tersebut dan Bangladesh juga enggan menerima mereka;

2.2 AYLF menginsafi dan menyedari hakikat bahawa Etnik Rohingya dinafikan kewarganegaraan tidak mendapat hak seperti rakyat Mynmar yang lain.  Juga tertakluk kepada pelbagai bentuk penindasan seperti dikenakan pelbagai bentuk cukai, tanah dirampas, rumah dirobohkan dan dihalau dari kampung halaman mereka;

2.3 AYLF menyedari hakikat bahawa berdasarkan laporan Amnesty International etnik Rohingya terus menerus menderita akibat pencabulan hak kemanusiaan oleh junta tentera Myanmar sejak tahun 1978 dan akibatnya ramai yang telah melarikan diri ke negara jiran seperti Bangladesh, Indonesia dan Malaysia sehingga kini;

2.4 AYLF menyesali hakikat bahawa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyenaraikan Rohingya sebagai golongan masyarakat yang menerima penindasan paling buruk di dunia. Antara operasi yang dianggap paling kejam ke atas masyarakat Rohingya adalah Operasi Naga Min (King Dragon Operation) yang merupakan sebahagian daripada Pelan 20 Tahun Pembasmian Rohingya (The 20-year Rohingya Extermination Plan); dan

2.5 AYLF menyedari selaran yang dibuat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap layanan kerajaan Burma terhadap Muslim Rohingya adalah contoh terbaik penghapusan etnik.

3.0 Justeru, AYLF yang kini sudah melebarkan jaringannya di Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura, Filipina, Kemboja dan Sri Lanka menyeru para belia khususnya di seluruh rantau ASEAN untuk sama-sama bersatu padu menentang mekanisma penghapusan etnik di Mynmmar dan menyeru belia ASEAN untuk terus menyantuni warga Rohingya.

4.0 AYLF seterusnya mendesak pihak berwajib dan mengajak para belia seluruh ASEAN khususnya untuk bersama-sama:

4.1 Mendesak kerajaan Burma untuk meminda Burma Citizenship Law 1982 untuk memasukkan Burma sebagai sebahagian daripada rakyat minoriti di negara itu;

4.2 Menghentikan sebarang bentuk tindakan penghapusan etnik;

4.3 Mengutuk serangan yang tidak berperikemanusian Kerajaan Burma terhadap rakyat Muslim Rohingya;

4.4 Melaksanakan insiatif bantuan yang berterusan terutamanya dalam sektor kritikal seperti pendidikan dan kesihatan; dan

4.5 Membangun sebuah rantau ASEAN yang aman, tenteram dan meraikan kepelbagaian.

5.0 Sebagai sebuah jaringan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang belia termasuklah doktor perubatan, ahli perniagaan, aktivis masyarakat, peguam, mahasiswa dan sebagainya, AYLF amat berbesar hati dan bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana badan-badan antarabangsa, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, Institut Pengajian Tinggi dan sekolah dalam menjayakan kempen belia menentang penghapusan etnik di Rohingya dan program pembangunan pelarian seperti Rohingya.

DR NUR AISYAH ZAINORDIN
PRESIDEN
ASEAN YOUNG LEADERS FORUM (AYLF) MALAYSIA

DR MUHAMMADAFEEFEE ASSALIHEE
PRESIDEN
AYLF THAILAND

ADE NUANSA WIBISONO, MSc
PRESIDEN
AYLF INDONESIA

ABDULMAJED PANARIGAN MIMBANTAS
PRESIDEN
AYLF PHILLIPINES

MD HAIRUDIN ABD HAMID
AYLF SINGAPURA